Monday, April 4, 2011

cerita aurat dekat pakwe??

Menutup aurat bagi wanita muslimah merupakan sesuatu yang diwajibkan oleh syarak. Ianya merupakan suatu ketetapan yang pasti berdasarkan dalil daripada al-Quran dan sunnah. Seorang wanita muslimah itu dibenarkan menampakkan aurat mereka hanya kepada golongan-golongan tertentu seperti yang dijelaskan secara terperinci di dalam al-Quran Surah al-Nur ayat 31 yang bermaksud :

“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan mereka, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”

Disebabkan itulah Islam melarang seseorang wanita muslimah itu menceritakan kepada rakan-rakan yang bukan mahramnya perihal aurat mereka. Seperti menceritakan rupa bentuk tubuh badannya, kedudukan rambut, mahupun warna kulit anggota-anggota tertentu yang terselindung disebalik batasan-batasan aurat yang digariskan oleh Islam.

Islam mengangkat tinggi kedudukan wanita dengan memelihara status kemulian mereka. Disebabkan itu apa sahaja yang boleh memberi kesan terhadap merendahkan kedudukan wanita, maka ianya dari awal lagi ditegah di dalam Islam. Perbuatan menceritakan aurat sendiri atau aurat wanita yang lain kepada bukan mahram mereka merupakan suatu tegahan dari Baginda Nabi SAW. Ini kerana ianya secara tidak langsung memberi gambaran kepada lelaki yang bukan mahram berkenaan aurat yang mana ianya pada asalnya bertujuan untuk menutup pintu-pintu perzinaan. Ini jelas hadis daripada Ibn Mas’ud katanya Rasulullah saw. bersabda: “Janganlah seorang perempuan itu bergaul dengan perempuan lain kemudian ia menceritakan perihal perempuan lain itu kepada suaminya sehingga seakan-akan suaminya melihat perempuan yang diceritakannya”. (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Berdasarkan hadis tersebut, mana-mana wanita dilarang untuk menceritakan aurat wanita saudaranya dan rakan-rakan yang lain kepada suami masing-masing. Apatah lagi bagi pasangan yang belum berkahwin untuk menceritakan perihal aurat mereka kepada tunang, kekasih mahupun rakan-rakan berlainan jantina.

Kesimpulannya di sini, mana-mana wanita Muslimah dilarang mendedahkan atau menceritakan aurat mereka kepada yang bukan mahram dan wanita bukan Islam tanpa keperluan tertentu yang mendesak. Mereka dibolehkan membuka aurat mereka kepada wanita bukan Islam hanya sekiranya terdapat keperluan dan meyakini wanita bukan Islam tersebut mampu merahsiakan aurat wanita Muslimah dari dihebahkan kepada lelaki lain. Islam tidak menyusahkan wanita. Tetapi ia memuliakan wanita.

p/s: semoga diri ini mendapat hidayah dariMu..
jauhkan aku dari kesesatan..
amiin..
T_______T

No comments:

Post a Comment